Peraturan

PERATURAN AM
  1. Setiap pelajar dikehendaki mematuhi setiap peraturan yang terkandung di dalam buku peraturan ini dan apa-apa jua peraturan yang dikeluarkan oleh sekolah dari masa ke semasa selepas daripada ini.

  2. Semua pelajar yang berdaftar dan belajar di sekolah ini dikehendaki mempunyai dan mengamalkan nilai-nilai akhlak yang baik, bersopan, dan berbudi bahasa sepanjang masa samada di dalam atau di luar kawasan sekolah.

  3. Setiap pelajar tidak boleh berkelakuan dengan cara yang dapat ditakrifkan atau dianggap sebagai
    ➔Mencemarkan nama baik sekolah
    ➔Mencemarkan nama baik individu
    ➔Melakukan perbuatan merosakkan harta sekolah atau harta orang perseorangan atau harta awam.
    ➔Mengganggu ketenteraman dan perpaduan sekolah
    ➔Menimbulkan kegelisahan / persengketaan di kalangan pelajar atau kakitangan sekolah.
    ➔Melakukan perbuatan menghina mana-mana pihak atau individu.
    ➔Melakukan perbuatan menyiksa dan mengugut mana-mana individu.
    ➔Tidak senonoh / melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pelajar.

  4. Setiap pelajar dikehendaki belajar bersungguh-sungguh.

  5. Setiap pelajar dikehendaki menyertai semua kegiatan yang diadakan oleh sekolah samada bercorak akademik atau kokurikulum.

  6. Setiap pelajar dikehendaki sentiasa menjaga nama baik dan imej sekolah dengan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam bidang akademik, kokurikulum dan tingkahlaku.

  7. Pelajar dilarang melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain.

  8. Semua pelajar mesti berada di tempat-tempat yang telah ditetapkan mengikut masa yang ditetapkan semasa aktiviti persekolahan dijalankan.


WAKTU PERSEKOLAHAN
Sesi pembelajaran setiap hari bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang.

  1. Waktu Hadir
    ➔Murid mesti berada di kawasan sekolah sebelum loceng dibunyikan pada pukul 7.45 pagi.
    ➔Kehadiran akan direkodkan pada waktu pertama pembelajaran.
    ➔Murid-murid dikira lewat jika hadir selepas 8.00 pagi.

  2. Waktu Balik
    ➔Loceng akan dibunyikan 5 minit sebelum waktu balik.
    ➔Lampu, kipas, semua bekalan elektrik, pintu dan tingkap hendaklah ditutup.
    ➔Murid-murid tidak dibenarkan keluar dari kawasan sekolah semasa waktu persekolahan (termasuk waktu rehat) kecuali telah mendapat kebenaran bertulis daripada Guru Besar dan ditemani oleh hanya ahli keluarga.
    ➔Murid-murid tidak dibenarkan berada di dalam kelas dan kawasan-kawasan larangan pada waktu rehat dan sebelum loceng bermula kecuali dengan kebenaran guru atau mereka yang bertugas.

  3. Kehadiran Sekolah
    ➔Kehadiran ke sekolah adalah wajib
    ➔Menghadiri kelas bimbingan atau kelas gantian adalah wajib.
    ➔Murid-murid juga wajib hadir semua aktiviti yang dianjurkan oleh sekolah.
    ➔Mana-mana murid yang tidak dapat hadir ke sekolah wajib memberitahu Guru Besar atau wakilnya secara LISAN dan BERTULIS.
    ➔Murid yang tidak hadir ke sekolah tanpa kenyataan dikira PONTENG sekolah.
    ➔Surat-surat peringatan tentang kehadiran murid, tingkahlaku, dan apa jua yang berkaitan dengan persekolahannya yang bertentangan dengan peraturan sekolah akan dihantar pada ibu bapa / penjaga. Ibu bapa / penjaga wajib memberi respon positif dan akur dengan sebarang keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak guru dan pengarah sekolah ke atas anak / murid berkenaan.
    ➔Jika murid tidak hadir ke sekolah lebih dari tiga hari berturut-turut tanpa kenyataan, surat amaran pertama akan dihantar kepada ibu bapa / penjaga. Surat-surat amaran kedua dan terakhir akan dihantar sekiranya murid masih ponteng sekolah tanpa alasan. Jika selepas ini pihak sekolah masih juga tidah menerima apa-apa maklumat daripada ibu bapa / penjaga, tindakan yang sewajarnya akan diambil sehingga murid berkenaan ditamatkan persekolahannya.

  4. Ibu bapa / penjaga wajib memberitahu Guru Besar atau wakilnya sekiranya anak / murid mengidap sebarang penyakit kronik supaya tindakan wajar dibuat terhadap penglibatannya dalam aktiviti persekolahan. Pihak sekolah tidak akan bertanggungjawab jika terjadi sebarang kecelakaan berpunca dari penyakit yang disembunyikan dari pengetahuan pihak sekolah.

  5. Perhimpunan Sekolah
    ➔Perhimpunan mingguan diadakan pada setiap hari Isnin. Semasa perhimpunan, murid-murid akan menyanyikan Asma ul-Husna, Lagu Negaraku, Lagu Bangsa Johor dan Lagu Sekolah. ➔Bendera dinaikkan semasa lagu-lagu tersebut dinyanyikan. Murid-murid melafazkan ikrar dan membaca doa yang diketuai oleh pengawas bertugas.
    ➔Perhimpunan harian diadakan pada setiap hari Selasa hingga Jumaat pada pukul 7.45 pagi.
    ➔Murid-murid membaca Asma ul-Husna, ikrar dan doa diketuai oleh pengawas bertugas.
    ➔Tazkirah dan bacaan Yaasin diadakan pada hari Jumaat dua kali dalam sebulan.
    ➔Murid-murid dikehendaki beratur dan bergerak dengan senyap dalam barisan semasa berjalan ke bahagian lain.
    ➔Semua murid wajib hadir perhimpunan harian dan mingguan.

  6. Tidak dibenarkan seorang murid pun berada di dalam kawasan sekolah selepas waktu sekolah atau cuti sekolah tanpa sebarang urusan kecuali dengan kebenaran guru.


HUBUNGAN DENGAN LUAR
  • Semua pelawat termasuk ibu bapa / penjaga mesti berjumpa dengan Guru Besar terlebih dahulu.
  • Murid tidak dibenarkan membawa orang luar ke kawasan sekolah kecuali berkaitan urusan rasmi.
  • Pelajar / pelawat hendaklah menutup aurat apabila berurusan dengan pihak sekolah.
  • Orang luar tidak dibenarkan berada di dalam kawasan sekolah tanpa kebenaran Guru Besar.


BARANGAN-BARANGAN LARANGAN
  1. Rokok, mancis, lighter, dan barang-barang yang sejenis dengannya.
  2. Benda-benda yang tajam seperti pisau, gunting dan lain-lain kecuali dengan kebenaran guru.
  3. Barang-barang perhiasan diri seperti rantai emas, cincin dan lain-lain
  4. Alat solek.
  5. Kaset, ‘walkman’, ‘game watch’, komik, majalah lucah / hiburan, pita video, compact disk, dan alatan-alatan lain yang tidak sesuai dengan budaya murid sekolah.
  6. ‘Liquid paper’, pen marker dan semua jenis cat.
  7. Mercun, bunga api, dan bahan-bahan lain yang menjadi punca kebakaran.
  8. Sebarang bentuk perjudian dan penjualan.
  9. ‘Chewing gum’, gula-gula dan makanan ringan.
  10. Telefon bimbit, kamera, ‘pen-drive’, pager dan seumpamanya. Kesemua barang-barang di atas adalah dilarang sama sekali dibawa ke sekolah. Pihak sekolah akan merampas barang-barang larangan dan tidak akan memulangkan kembali.


RUPA DIRI
Rambut Murid Lelaki
  1. Rambut hendaklah pendek dan kemas
  2. Rambut di depan hendaklah tidak melebihi separuh paras dahi
  3. Rambut di tepi tidak melebihi separuh bahagian telinga.
  4. Rambut di belakang mestilah nipis dan tidak melebihi garisan di bawah cuping telinga.
  5. Potongan tidak boleh berfesyen seperti ‘punk’, diwarnakan, berekor, dan terjuntai di hadapan serta memakai gel.

Rambut Murid Perempuan
  1. Rambut yang panjang hendaklah diikat.
  2. Alat perhiasan kepala yang dibenarkan hanyalah seperti getah rambut yang bewarna hitam dan putih sahaja.
  3. Semua rambut mestilah dimasukkan ke dalam anak tudung.

Persolekkan
Dilarang bersolek dan membawa alat solek ke sekolah.
Dilarang membawa minyak wangi atau bahan-bahan yang berbau.

Kuku
Dipotong pendek.
Tidak diwarnakan termasuklah inai.
Sentiasa bersih.


YURAN
  • Setiap murid diwajibkan menjelaskan semua jenis yuran dalam tempoh yang telah ditetapkan.
  • Tarikh akhir pembayaran yuran bulanan adalah pada 10 haribulan bagi setiap bulan.
  • Pelajar yang tidak menjelaskan yuran selama dua bulan atau lebih akan digantung persekolahan.


UJIAN DAN PEPERIKSAAN
  • Dilarang meniru atau memberi peluang meniru.
  • Sebarang penyelewengan dalam peperiksaan adalah dilarang.


AKHLAK
  1. Semua murid hendaklah berakhlak baik, mentaati, dan menghormati semua guru, kakitangan sekolah, pengawas serta ketua kelas dan bersopan santun, rajin serta saling bekerjasama antara satu sama lain.
  2. Murid-murid hendaklah memberi salam hormat apabila bertemu dengan Guru Besar, guru-guru, kakitangan sekolah dan pelawat yang datang ke sekolah.
  3. Apabila guru dan pelawat masuk ke kelas, semua murid hendaklah berdiri dan menyambut salam yang diberikan.
  4. Murid-murid mestilah berdiri dan mengucapkan salam serta terima kasih apabila guru keluar dari bilik darjah selepas mengajar, 
  5. Semua murid hendaklah membacakan doa sebelum memulakan pelajaran.
  6. Semua murid hendaklah menjaga kebersihan dan keceriaan bilik darjah serta persekitaran sekolah.
  7. Semua murid hendaklah berjimat dan mengawal bekalan elektrik dan air.
  8. Murid-murid hendaklah menggunakan masa terluang di sekolah dengan membaca buku.
  9. Murid-murid hendaklah menjaga nama baik sekolah.


BUKU
  • Semua buku mestilah disampul
  • Dilarang menconteng / mengotorkan buku.
  • Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru dibuat dengan sempurna seperti yang dikehendaki.


HARTA BENDA SEKOLAH
  • Setiap murid adalah bertanggung jawab menjaga keselamatan dan kesempurnaan harta benda sekolah.
  • Murid dilarang dari menyalahgunakan segala harta benda dan kemudahan yang terdapat di sekolah.
  • Perbuatan menconteng, mengotor dan merosakkan harta benda seperti papan kenyataan, dinding dan sebagainya adalah dilarang.
  • Segala harta benda sekolah yang didapati dirosakkan oleh murid-murid mesti dibayar gantirugi yang telah ditetapkan. Jika didapati tiada murid yang mengaku bertanggungjawab atas sesuatau kerosakkan, semua murid yang berada di tempat kejadian atau kumpulan yang terlibat semasa kejadian berlaku dikehendaki sama-sama membayar gantiruginya.
  • Murid-murid dilarang menggunakan telefon sekolah kecuali dengan kebenaran guru.


PEJABAT
  • Murid tidak dibenarkan masuk tanpa kebenaran.
  • Murid dilarang berada di kawasan pejabat tanpa urusan.


BILIK GURU
  • Murid dilarang masuk ke Bilik Guru tanpa kebenaran
  • Hanya murid yang ada urusan dengan guru sahaja dibenarkan masuk.


BILIK DARJAH
  • Dilarang makan dan minum didalam bilik darjah.
  • Tutup kipas dan lampu sebelum meninggalkan bilik darjah.
  • Murid dikehendaki duduk di tempat yang telah diarahkan.
  • Dilarang berkeliaran di luar bilik darjah.
  • Dilarang membawa keluar harta benda dari dalam bilik darjah.


TANDAS
  • Murid-murid perlu mendapatkan kebenaran guru untuk ke tandas. Sekiranya tiada guru di dalam bilik darjah, ketua kelas atau penolongnya perlu mendapatkan kebenaran dari guru di bilik darjah yang berhampiran / bilik guru.
  • Tuala wanita (pad) yang telah digunakan hendaklah dibungkus dan dibuang ke dalam tong sampah.
  • Pam tandas selepas menggunakannya.


PERATURAN WAKTU REHAT DAN PENGGUNAAN KANTIN / DEWAN MAKAN
  • Murid-murid dilarang berada di dalam kelas / kaki lima kelas pada waktu rehat.
  • Murid-murid dikehendaki beratur ketika mengambil makanan.
  • Semua pinggan / mangkuk / apa-apa peralatan yang digunakan untuk makan / minum perlu diletakkan di tempat yang disediakan setelah selesai digunakan.
  • Murid-murid dikehendaki menjaga kebersihan kawasan makan pada setiap masa.



PERATURAN KHAS
  • Ibu bapa / penjaga yang bercadang untuk menukar persekolahan murid-murid, perlu memaklumkan pihak sekolah sebelum mengambil sebarang tindakan.
  • Ibu bapa / penjaga yang perlu menghantar / mengambil murid-murid ke / dari sekolah dikehendaki berada di luar pagar sekolah pada setiap masa.
  • Murid-murid hendaklah menyerahkan sebarang dokumen rasmi sekolah seperti surat, resit, kad ujian, dan seumpamanya kepada ibubapa / penjaga apabila diarahkan berbuat demikian oleh pihak sekolah.